Sunday, June 27, 2010

Jabal Abi Qubais


Di timur Baitullah, jika kita membelakangkan hajarul aswad yang mulia, akan terpandanglah kita sebuah istana megah berdiri atas sebuah bukit yang telah ditarah habis. Bukit yang telah diperkosa sedemikian rupa, itulah Jabal Abi Qubais yang mempunyai sejarah berkait rapat dengan sejarah Baitullah dan Kota Makkah al-Mukarramah. Jabal Abi Qubais atau lebih masyhur di lidah orang kita sebagai Jabal Qubais , dahulunya mencapai ketinggian 420 meter. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Jabal Abi Qubais inilah seawal-awal gunung / bukit yang dicipta Allah atas muka bumi ini. Imam as-Sayuthi rhm. meriwayatkan dalam "al-Wasaa-il fi Musaamiratil Awaa-il" halaman 6 menulis:-

Dan seawal-awal jabal yang diletakkan Allah atas bumi adalah Abu Qubais, kemudian terpencar (tersebar) darinya segala jabal. Ibnu 'Asaakir menyatakan bahawa dalam sanad hadits ini ada rawi yang majhul dan bahawasanya ianya dihafaz / diterima daripada perkataan 'Atho`.
Banyak peristiwa bersejarah berkait dengan Jabal Abi Qubais. Jabal Abi Qubais dikenali juga sebagai Jabal al-Amin (bukit kepercayaan / bukit penyimpan amanah), kerana Allah telah mengamanahkan hajarul aswad dalam simpanannya pada waktu taufan dan bah zaman Nabi Nuh a.s. Tatkala Nabi Ibrahim membina semula Baitullah, maka Jabal Abi Qubais mengeluarkan kembali hajarul aswad lalu dibawa oleh Sayyidina Jibril a.s. dan serahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Dalam sebahagian kitab-kitab tafsir seperti "Tafsir al-Jalalain" dan "Tafsir al-Qurthubi", dalam memberikan tafsiran bagi firman Allah s.w.t. yang kira-kira bererti:- "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman") menyatakan bahawa seruannya Nabi Ibrahim ini dilakukan baginda dari puncak Jabal Abi Qubais. Imam al-Qurthubi meriwayatkan dalam tafsirnya tersebut daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas r.a. dan Sayyidina Ibnu Jubair r.a. yang menceritakan bahawa setelah Nabi Ibrahim menyelesaikan pembinaan Baitullah, maka Allah berfirman kepada baginda: "Serukanlah segala manusia untuk mengerjakan haji." Maka Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, adakah seruanku akan sampai kepada mereka"? Allah menjawab: "Serulah dan atas Akulah menyampaikannya." Lalu naiklah Nabi Ibrahim Khalilullah akan Jabal Abi Qubais dan berteriaklah baginda dengan katanya: "Wahai manusia ! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah kamu." Seruan Nabi Ibrahim ini telah dijawab oleh segala roh manusia yang berada di tulang-tulang sulbi lelaki dan rahim-rahim perempuan dengan ucapan talbiyyah "LaibaikAllahumma labbaik", sesiapa yang menjawabnya pada hari tersebut maka dia akan berhaji sebanyak mana jawapannya, jika menjawab sekali akan berhaji sekali dan jika dua kali akan berhaji dua kali, dan dari sinilah bermulanya ucapan talbiyyah yang menjadi semboyan atau syiar para hujjaj. Selain daripada itu, diriwayatkan juga bahawa batu-batu yang digunakan untuk membina Baitullah yang mulia diambil dari Jabal Abi Qubais.

Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa mukjizat Junjungan s.a.w. membelah bulan berlaku di Jabal Abi Qubais, di mana setelah diminta oleh kaum musyrikin Makkah agar Junjungan Nabi s.a.w. memperlihatkan satu mukjizat, maka baginda dengan tunjukan jari baginda yang mulia telah membelah bulan menjadi dua belahan, sehingga disaksikan oleh kaum musyrikin Makkah bahawa bulan benar-benar terbelah dua, satu belahan di atas Jabal Qubais, manakala belahan keduanya pergi ke Jabal Qu`ayqa`aan (Jabal Qiiqa`aan atau Jabal Hindi).

Selain peristiwa tersebut, sebahagian mufassir juga menceritakan bahawa tatkala turun firman Allah s.w.t yang kira-kira bererti:- "Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat." (asy-Syu`araa`: 214 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), yang memerintahkan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kerabat baginda, maka Junjungan Nabi s.a.w. membuat seruan tersebut dari Jabal Abi Qubais Ini adalah mengikut riwayat sebahagian mufassir, manakala sebahagian lain menyatakan baginda melakukan seruan dakwah tersebut dari Bukit Shofa. Kedua-dua riwayat ini tidaklah bercanggah kerana Jabal Shofa tempat memulakan ibadah sa`ie, terletak di hujung Jabal Abi Qubais dan merupakan sebahagian daripada jajaran Jabal Abi Qubais, manakala Jabal Marwah berada di permulaan jajaran Jabal Qiiqa`aan / Jabal Qu`ayqa`aan / Jabal Hindi.

Berbalik kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s. membuat seruannya agar umat manusia menunaikan haji dari atas Jabal Abi Qubais, maka dahulu ramai orang naik ke atasnya untuk berbuat sedemikian kerana mengambil sempena. Dahulu di atas puncak bukit tersebut ada sebuah masjid kecil yang dinamakan Masjid Bilal. Menurut cerita sesetengah orang, masjid tersebut dibina atas tapak di mana Nabi Ibrahim membuat seruan baginda tersebut. Oleh itu, maka sebagai menelusuri jejak sejarah dan mengambil sempena, manusia datang menziarahi masjid tersebut untuk "melambai", yakni berdoa agar ahli keluarga dan rakan taulan yang belum berkesempatan datang ke Baitullah diberi peluang untuk ke sana. Alhamdulillah, musim haji tahun 1974, aku sempat menaiki Jabal Abi Qubais dan menziarahi masjid tersebut dan memang Baitullah nampak dengan jelas dari sana. Sekarang, semua ini sudah tidak ada lagi, kerana kini tiada lagi rumah, tiada lagi rubath, tiada lagi masjid atas Jabal Abi Qubais, yang ada hanyalah istana mewah keluarga Sa`ud....Allahu .... Allah.

oleh Abu Muhammad

Jibril & 12,000 Malaikat menemui Rasulullah di Bukit Qubais



Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-R'ad 13:11)

Pada zaman jahiliah di antara beberapa orang raja ada seorang raja yang bernama raja Habib lbnu Malik di kota Syam. Orang-orang arab menggelarnya “Raihanah Quraisyin.”

Ketika Raja Habib bersama angkatan tenteranya seramai 12,000 orang singgah di Abthah, iaitu suatu tempat dekat kota Makkah maka datanglah Abu Jahal beserta pengikut pengikutnya memberikan berbagai-bagai hadiah kepada raja Habib.

Setelah itu Abu Jahal dipersilakan duduk di sebelah kanan raja Habib. Berkata raja Habib: “Wahai Abu Jahal katakan kepadaku tentang Muhammad.”

Berkata Abu Jahal: “Tuan, silalah tuan tanya tentang Muhammad itu dari Bani Hasyim.”

Raja Habib pun bertanya kepada Bani Hasyim: “Wahai Bani Hasyim, katakan pada beta tentang Muhammad itu.”

Berkata Bani Hasyim: “Sebenarnya kami telah mengenal Muhammad itu sejak dia kecil lagi, orangnya sungguh amanah dan setiap katanya benar; dia tidak akan berkata selain dari yang benar. Apabila umur Muhammad meningkat pada 40 tahun dia telah mula mencela Tuhan kita dan dia membawa agama baru yang bukan datangnya dari nenek moyang kita.”

Sebaik sahaja raja Habib mendengar penjelasan dan Bani Hasyim maka dia pun berkata: “Bawa Muhammad mengadap dengan cara baik, kalau Muhammad degil maka gunakan kekerasan.

Setelah itu mereka pun mengutus salah seorang untuk menjemput Muhammad SAW. Setelah Rasulullah SAW menerima pesanan raja, baginda pun bersiap-siap untuk pergi, sementara itu Abu Bakar ra dan Siti Khadijah menangis kerana takut baginda dizalimi oleh raja tersebut.

Rasulullah SAW berkata: “Janganlah kamu berdua menangis, serahkanlah urusanku ini kepada Allah SWT.”

Kemudian Ahu Bakar ra pun mengaturkan pakaian untuk RasuIulIah SAW yang terdiri dari baju berwarna merah dan serban berwarna hitam.

Setelah Rasulullah SAW mengenakan pakaian tersebut maka baginda bersama Abu Bakar ra dan Khadijah ra pun pergi menghadap raja Habib. Setelah sampai di hadapan raja, Abu Bakar ra berdiri di sebelah kanan Rasulullah SAW sementara Siti Khadijah berdiri di belakang Rasulullah SAW.

Apabila raja Habib melihat baginda Rasulullah SAW berdiri dihadapannya maka raja Habib pun bangun memberi hormat mempersilakan Rasulullah SAW duduk di sebuah kerusi yang diperbuat dari emas. Sementara itu Siti Khadijah yang merasa cemas berdoa kepada Allah SWT: “Ya Allah, tolonglah Muhammad dan mudahkanlah dia menjawab sebarang pertanyaan.”

Sewaktu baginda duduk di hadapan raja Habib maka keluarlah cahaya memancar dari wajah baginda dan baginda duduk dengan tenang tanpa rasa takut.

Raja Habib memulakan pertanyaan: ‘Wahai Muhammad, kamu pun tahu bahawa setiap Nabi itu ada mukjizatnya, jadi apakah mukjizat kamu itu?”

Bersabda Rasulullah SAW: “Katakan apakah yang kamu kehendaki?”

Berkata raja Habib: Aku mahu matahari itu terbenam dan bulan pula hendaklah turun ke bumi dan kemudiannya bulan hendaklah terbelah menjadi dua, kemudian masuk di bawah baju kamu dan separuh keluar melalui lengan baju kamu yang kanan dan sebelah lagi hendaklah keluar melalui lengan baju kamu yang kiri. Setelah itu bulan itu hendaklah berkumpul menjadi satu di atas kepala kamu dan bersaksi atasmu, kemudian bulan itu hendaklah kembali ke langit dan mengeluarkan cahaya yang hersinar dan hendaklah bulan itu tenggelam. Sesudah itu hendaklah matahari yang tenggelam muncul semula dan berjalan ke tempatnya seperti mulanya.”

Setelah mendengar begitu banyak yang raja Habib kehendaki, maka baginda Rasulullah SAW pun bersabda:

Apakah kamu akan beriman kepadaku setelah aku melakukan segala apa yang kamu kehendaki?”

Berkata raja Habib: “Ya, aku akan beriman kepadamu setelah kamu dapat menyatakan segala isi hatiku.”

Abu Jahal yang sedang menyaksikan percakapan itu segera melompat ke hadapan sambil berkata: “Wahai tuanku, tuanku telah mengatakan yang cukup baik dan tepat.”

Rasulullah SAW pun keluar lalu pergi mendaki gunung Abi Qubais, kemudian baginda mengerjakan solat dua rakaat lalu berdoa kepada Allah SWT. Setelah berdoa maka turunlah malaikat Jibril as bersama dengan 12,000 malaikat dengan memegang panah di tangan mereka.

Malaikat Jibril as berkata: “Assalamu alaika yaa Rasulullah, sesungguhnya Allah telah bersalam kepadamu dan berfirman:

“Wahai kekasihku, janganlah kamu takut dan bersusah hati. Aku akan sentiasa bersamamu di mana sahaja engkau berada dan telah tetap dalam pengetahuanKu dan berjalan di dalam qada kepastianKu di zaman azali apa-apa yang diminta oleh raja Habib bin Malik pada hari ini; pergilah kamu kepada mereka dan berikan hujjahmu dengan tepat dan jelaskan keadaanmu dan keutusanmu. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT telah menundukkan matahari, bulan, malam dan siang. Sesungguhnya raja Habib itu mempunyai seorang puteri yang tidak mempunyai kedua tangan, kedua kaki dan tidak mempunyai kedua mata. Dan katakan kepadanya bahawa Allah SWT telah mengembalikan kedua tangannya, kedua kakinya dan kedua matanya.”

Setelah itu Rasulullah SAW pun turun dari gunung Abi Qubais dengan rasa tenang dan rasa gembira. Malaikat Jibril as di angkasa dan para malaikat berbaris lurus dan Rasulullah SAW berdiri di maqam Ibrahim. Dan adalah saat itu matahari terbenam.

Matahari mulai seakan-akan berlari cepat, ertinya matahari cepat-cepat terbenam dan menjadi gelap gelita. Kemudian bulan terbit dengan terangnya, setelah bulan naik meninggi baginda Rasulullah SAW memberikan isyarat dengan dua jari-jarinya kepada bulan itu, dan bulan seakan-akan berlari turun ke bumi dan berdiri di hadapan baginda Rasulullah SAW. Kemudian bulan itu bergerak-gerak seperti awan lalu bulan itu terbelah menjadi 2 dan bulan itu masuk di bawah baju Rasulullah SAW separuhnya keluar melalui lengan sebelah kanan baju baginda sementara yang sebelah lagi keluar melalui lengan sebelah kiri baju baginda. Kemudian bulan kembali bercantum mengeluarkan cahaya dengan terang lalu berdiri di atas kepala Rasulullah SAW dengan berkata: “Saya bersaksi bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan saya bersaksi bahawa Muhammad itu hamba Allah dan RasulNya sesungguhnya berbahagialah orang-orang yang membenarkan engkau Muhammad dan rugilah orang-orang yang menyalahi engkau.”

Setelah bulan berkata demikian maka bulan pun kembali ke langit menjadi terang dan menghilangkan dirinya. Sebaik sahaja bulan menghilangkan dirinya maka matahari pun timbul kembali. Oleh kerana raja Habib telah mengatakan bahawa Rasulullah SAW mesti memberitahu rasa hatinya maka diapun berkata: ‘Wahai Muhammad, kamu masih ada satu syarat lagi.”

Belum sempat Habib hendak berkata maka baginda Rasululah SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu mempunyai seorang puteri yang tidak mempunyai dua tangan, tidak mempunyai dua kaki dan dia juga tidak mempunyai dua mata dan sesungguhnya ketahuilah olehmu Allah SWT telah mengembalikan kedua tangan, kedua kaki dan kedua matanya.”

Sebaik sahaja raja Habib mendengar dan meihat segala galanya maka dia pun berkata: “Wahai ahli Makkah, tidak ada kufur sesudah iman dan tidak ada keraguan sesudah yakin, oleh itu ketahuilah oleh kamu sekelian bahawa sesungguhnya aku bersaksi, Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang satu dan tidak ada sekutu bagiNya, dan saya bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu hambaNya dan utusan-Nya.”

Raja Habib dan semua bala tenteranya masuk Islam. Kemarahan Abu Jahal meluap-luap dan dia berkata: “Wahai tuan raja, apakah tuan percaya kepada ahli syihir ini sehingga syihir itu telah mempersonakan tuan.”

Raja Habib tidak menghiraukan kata-kata Abu Jahal, sebaliknya raja Habib kembali ke negerinya Syam. Apabila raja Habib masuk ke dalam istananya dia disambut oleh anak perempuanya dengan mengucap: “Asyhadu alla ilaaha illallah wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa Rasuuluhu” (Saya bersaksi bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan AlIah dan saya bersaksi bahawa Muhammad itu adalah pesuruhNya dan utusanNya).

Raja Habib tercengang dengan kalimah yang diucapkan oleh anaknya maka dia pun berkata: “Wahai anakku, siapakah yang mengajarkan kepada kamu kalimah ini?”

Berkata anak raja Habib: “Sebenarnya sewaktu saya tidur, telah datang seorang lelaki lalu berkata kepada saya: “Sesunguhnya ayah kamu telah masuk Islam, kalau kamu mahu masuk Islam maka aku kembalikan segala anggota kamu dengan baik.” Setelah itu saya pun tidur dan pagi ini diri saya tidak ada yang

kurang seperti yang ayah lihat sekarang”

Kemudian raja Habib bersyukur sujud kepada Allah SWT agar nikmat iman dan bertambahlah keyakinan. Setelah itu raja Habib mengumpulkan emas, perak dan kain lalu dinaikkan atas lima ekor unta berserta dengan beberapa orang hamba

dikirimkan kepada Rasulullah SAW.

Ketika rombongan yang membawa segala hadiah dari raja Habib itu sampai dekat kota Makkah, tiba-tiba muncul Abu Jahal bersama kuncu-kuncunya lalu berkata: “Kamu semua milik siapa?”

Berkata rombongan itu: “Kami semua ini milik raja Habib bin Ibnu Malik dan kami hendak pergi pada Rasullulah SAW.”

Sebaik sahaja Abu Jahal mendengar jawapan dari rombongan itu maka dia cuba merampas semua barang-barang yang bawa oleh rombongan itu, oleh kerana rombongan itu enggan menyerahkan barang-barang tersebut maka berlakulah pergaduhan antara kedua belah pihak. Apabila berlaku peperangan diantara kedua belah pihak maka berkumpullah penduduk kota Makkah dan datang bersama mereka Rasulullah SAW.

Melihat akan kedatangan orang ramai maka berkata rombongan diraja itu: “Kesemua barang yang kami bawa ini adalah milik raja Habib, dan raja Habib berhajat untuk rnenghadiahkan kesemua barang ini kepada Rasulullah SAW.”

Abu Jahal berkata: “Raja Habib menghadiahkan kesemua harang ini kepada saya.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai penduduk Makkah, adakah kamu semua suka kalau aku mencadangkan sesuatu?”

Berkata penduduk Makkah: “Ya, kami setuju.”

Bersabda Rasulullah SAW: “Kita hendaklah memutuskan percakapan unta ini, untuk siapakah sebenarnya harta ini.

Berkata Abu Jahal: “Kita tentukan perkara ini esok pagi.”

Setelah mendapat persetujuan dari Rasulullah SAW untuk ditunda pada esok hari maka Abu Jahal pun balik dan terus pergi kepada berhala-berhala yang disembahnya, dia pun memberi beberapa korban kepada berhala-berhala mereka dan memohon pertolongan pada berhala mereka sehingga pagi.

Apabila waktu yang dijanji telah tiba maka ramailah penduduk kota Makkah datang untuk melihat keputusan pengadilan. Rasulullah SAW datang bersama bapa saudara baginda danAbu Jahal bersama kuncu-kuncunya. Sebaik sahaja Abu Jahal sampai maka dia pun terus mengelilingi unta itu dengan berkata: “Berkatalah unta-unta semua atas nama Lata, Uzza dan Manata.” Setelah Abu Jahal berkata demikian sekian lama sehingga matahari telah tinggi, namum unta-unta itu tidak berkata apa-apa.

Maka berkata penduduk kota Makkah: ‘Wahai Abu Jahal, cukuplah apa yang kamu buat itu, sekarang giliran Muhamad pula untuk melakukannya.”

Rasulullah SAW pun menghampiri unta-unta tersebut dengan berkata: ‘Wahai unta makhluk Allah, demi ciptaan Allah berkatalah kamu dengan kekuasaan Allah.”

Setelah Rasulullah SAW berkata demikian maka bangunlah salah satu dari lima ekor unta lalu berkata: “Wahai ahli kota Makkah, kami semua ini adalah hadiah raja Habib bin Ibnu Malik untuk dipersembahkan kepada Rasulullah SAW.”

Sebaik sahaja unta itu berkata demikian maka RasulullahSAW pun menarik unta-unta tersebut berserta dengan barang-barang yang dibawanya ke gunung Qubais, kemudian Rasulullah SAW mengeluarkan semua emas dan perak yang

ada di atas unta lalu dikumpulkan sehingga menjadi bukit lalu berkata: “Wahai emas dan perak, hendaklah kamu semua menjadi pasir.”

Kemudian dengan sekejap sahaja kesemua emas dan perak itu menjadi bukit sehingga sekarang.

Tuesday, June 22, 2010

Hari bersejarah Pertubuhan IKRAM Malaysia



KUALA LUMPUR - Di hadapan lebih 5,000 orang yang terdiri daripada ahli, tetamu khas, petugas media serta para pemerhati dari dalam dan luar negara, sebuah gerakan Islam, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) telah dilancarkan pagi tadi. Majlis bersejarah tersebut berlangsung di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan dekat sini.

Sungguhpun IKRAM nama baharu dalam dunia gerakan Islam di negara ini, ia bukanlah pertubuhan (NGO) yang baru hendak bertatih. IKRAM lahir hasil gabungan lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. NGO terbabit adalah Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS). Aqsa Syarif Berhad yang ditubuhkan Februari lalu menjadi NGO kelima yang bernaung di bawah IKRAM.

Setakat hari pelancarannya sahaja, IKRAM telah mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri di seluruh negara, manakala bilangan ahli-ahlinya sudah menjangkau 3500 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Pelancaran IKRAM telah disempurnakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad.

Dalam sidang media yang diadakan seusai pelancaran tersebut, Dr Parid menjelaskan IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang komprehensif dan tidak memberikan fokus kepada bidang-bidang tertentu sahaja kerana dakwah adalah hak semua orang.

Bingkisan Islam yang hendak disampaikan oleh IKRAM adalah untuk semua manusia tanpa mengira agamanya agar lebih ramai yang dapat menerima kebaikan Islam dan sujud kepada Pencipta alam.

"Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada konsep bahawa tidak ada paksaan dalam beragama. Mereka yang belum bersedia menganut Islam tiada halangan untuk berdialog dan bekerjasama dengan kita dalam bidang-bidang tertentu," katanya.

Antara matlamat IKRAM yang disebut dalam perlembagaannya adalah menyebarkan Islam melalui dakwah, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial dan menegakkan syariat Islam secara praktikal. Selain yang demikian, IKRAM bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam, sesuai dengan moto IKRAM, 'Ukhuwah Teras Kegemilangan'.

IKRAM menyatukan dalam satu organisasi kerja-kerja dakwah yang telah diusahakan oleh ahli-ahlinya di bawah pelbagai nama. Dengan tertubuhnya IKRAM, kegiatan-kegiatan seperti dakwah kepada yang belum Islam, pendidikan, wanita, remaja, belia, kebajikan, bantuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik (good governance) akan digabung (consolidate) dan diperteguh.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Setiausaha Agung, Haji Zaid Kamaruddin dan Ketua Wanita, Ustazah Maznah Daud. Kebanyakan media utama negara termasuk daripada akhbar berbahasa Cina turut hadir membuat liputan majlis pelancaran dan sidang media IKRAM itu.

Menjawab satu soalan, Dr Parid menerangkan bahawa IKRAM berusaha membawa konsep dakwah yang dapat diterima oleh semua pihak demi mewujudkan kefahaman serta amalan hidup yang selari dengan tuntutan massa.

"Yang penting, ia mestilah tidak terkeluar daripada landasan Islam. Kita mesti yakin Islam itu baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk yang belum Islam," ujar lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Fiqh dan Usul Universiti Jordan, Amman ini.

Pelancaran IKRAM hari ini sekali gus melancarkan lagu rasmi pertubuhan itu yang menarik dan bersemangat. Lagu berjudul 'IKRAM' tersebut ditulis oleh Prof Dr Hatta sendiri manakala lagu dan vokalnya disampaikan oleh kumpulan SaffOne.

Sesi kedua majlis diserikan dengan Tazkirah Perdana oleh Ahli Lembaga Timbangtara IKRAM, Ustaz Alias Othman berjudul 'Bekalan di Perjalanan' dan ucapan berapi-api oleh Ustaz Hasanuddin Yunus, Pengerusi Aqsa Syarif yang turut menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Seorang pengunjung, Azhar Maluddin, 45, berkata, jumlah kehadiran yang begitu ramai pada hari ini memberi petanda yang amat baik.

"Pelancaran IKRAM yang dihadiri tidak kurang daripada 5,335 hari ini mampu memberi impak yang besar kepada ahli-ahli. Ia menunjukkan IKRAM boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada ahli-ahlinya apabila diperlukan," katanya.

Sementara itu, gerai-gerai yang dibuka di lobi dewan, terutamanya yang menjual barangan berkaitan Palestin mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.


www.malaysiaharmoni.com

Trio hero Mavi Marmara di UTM Sekudai



JOHOR BAHRU - Kerana Tuhan, untuk manusia, juga untuk Gaza. Demikian moto yang mungkin boleh diberikan kepada Dewan Senat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang buat julung kalinya berbicara secara khusus lagi serius mengenai isu Gaza dan al-Quds selama kira-kira tiga jam semalam.

Program ‘Tragedi Marmara’ dibarisi oleh tiga panel utama sekali gus penumpang Mavi Marmara yang menjadi mangsa kebiadaban Israel, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (Pengerusi Aqsa Syarif Bhd), Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al- Haddad (HALUAN Palestin) dan Dr Mohd Arbai’e Syawal (HALUAN Palestin) yang turut dihadiri oleh Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim, TNC Akademik dan Antarabangsa UTM.

Dewan paling eksklusif di UTM itu sudah pun dipenuhi orang ramai seawal program bermula iaitu pada jam 9.30 pagi. Beberapa slaid berkaitan isu Palestin dan tragedi Mavi Marmara membuka tirai program. Kemudian ketiga-tiga panel silih berganti berkongsi pengalaman, analisis dan gagasan masing-masing.

Buat masa ini jadual mereka agak padat dengan aktivisme jerayawara berkenaan tragedi Mavi Marmara di sekitar Johor Bahru. Pada malam kelmarin mereka terlibat dengan program di Masjid BBU, manakala pada malam semalam mereka diraikan dalam program yang serupa di laman terbuka berdekatan Surau Jauharul Muttaqin, Presint Bakti, Mutiara Rini.

Analisis sirah oleh Hasanuddin mengenai gerakan penentangan terhadap pemulauan kaum Muslimin, Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib dan kaitannya dengan Gaza menarik untuk direnung fikir. Beliau turut menggesa agar semua pihak meneruskan gelombang dan momentum yang sedia ada malah menyifatkan mereka yang tidak berani bercakap tentang isu Palestin dianggap sebagai kera sumbang.

Ujar Hasanuddin, “Jangan biarkan kapal Mavi Marmara itu berlabuh tanpa mengalunkan gelombangnya sendiri.” Dr Syed pula mengharapkan peranan pihak media dalam menyemarakkan isu Palestin terus berkekalan sementelahan perjuangan belum selesai. Beliau malah sewaktu mahu ditemubual oleh pihak BBC, dengan sinis mencelah, “Di manakah kamu sebelum ini?”

Ketiga-tiga panel bersetuju bahawa setiap orang perlu memainkan peranan masing-masing dalam perjuangan membebaskan Palestin sama ada menerusi sumbangan wang mahupun masa dan tenaga termasuk memboikot barangan yang memberikan keuntungan kepada pihak Israel.

“Ramai orang Islam masih suka makan McD, minum Coca Cola,” ucap Dr Arbai’e. “Mereka perlu boikot sekarang,” sambung pengamal perubatan itu lagi.

Dr Syed mengakhiri bicara dengan suatu yang cukup menjentik benak iman apabila beliau mencium tiga jenazah penumpang Mavi Marmara yang berbau harum sambil menitiskan air mata sambil teringatkan ayat Allah bahawa yang syahid itu hakikatnya tidak mati bahkan hidup bersama rezeki yang melimpah ruah di sisi Allah.

www.malaysiaharmoni.com