Thursday, March 25, 2010

Menjaga Iman


Beberapa langkah utama yang mesti dijaga oleh setiap Mukmin untuk
menjaga kesejahteraan imannya adalah seperti berikut.

1. Menuntut Ilmu.

Orang yang mencari ilmu untuk dijadikan bekalan di dalam perjalanan
hidup untuk Hari Kemudian dan berniat untuk mencari keredhaan Allah
semata-mata, maka ia termasuk dalam golongan orang-orang yang bakal
memperolehi keselamatan dan kejayaan. Imam Al-Ghazali menyatakan:

"Yang paling utama sekali adalah waktu kamu digunakan untuk menambah
ilmu yang berguna dan bermanfaat terhadap Deen, iaitu ilmu yang dapat
menghantar kamu menuju ketaqwaan kepada Allah, membuka kesedaran kamu
untuk menyaksikan segala keburukan yang terdapat di dalam dirimu.
Memperdalamkan makrifat terhadap ibadah kepada Allah. Mengurangkan
hasrat kamu yang berlebih-lebihan terhadap dunia dan menambah
penglibatan dirimu terhadap kehidupan di akhirat kelak.

Ilmu ini dapat membuka luas mata hatimu terhadap cacat cela segala
macam amal perbuatanmu, sehingga kamu dapat menjaga jangan sampai
berulang lagi perbuatan yang buruk, malah membuat kamu lebih waspada dan
berhati-hati sekali terhadap godaan-godaan syaitan dan tipu dayanya."

2. Mentaati Perintah Allah.

Taat itu maksudnya ialah menurut atau patuh kepada peraturan-peraturan
dan ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Allah. Perintah-perintah
Allah itu terdiri daripada amal-amal yang wajib dan yang sunat.

Amal-amal yang wajib adalah merupakan amal pokok yang paling penting
bagi menggerakkan setiap urusan serta membawa manusia ke jalan yang
selamat dan bahagia. Amal-amal yang sunat pula merupakan keuntungan
yang memberikan dan mengangkat darjat kepada kejayaan dan kemuliaan.

Dalam mentaati perintah Allah seseorang Mukmin mestilah menunaikan
kewajipan-kewajipan yang telah difardhukan kepadanya seperti Solat, puasa
pada bulan Ramadhan, menunaikan haji dan mengeluarkan zakat. Demi untuk
memastikan keempat-empat fardhu ini hidup di dalam dirinya hendaklah ia
menyeru manusia kepada perlaksanaannya serta melarang manusia dari
mengabaikannya. Usaha ini dinamakan sebagai amru bil ma'ruf wa nahu
'anil munkar. Oleh itu sekiranya tugas ini tidak dilaksanakan dengan
sempurna, maka menjadi kewajipan kepadanya untuk melaksanakannya.

Di samping melakukan perkara-perkara yang fardhu, seseorang Mukmin itu
hendaklah meningkatkan dirinya bagi melaksanakan amalan-amalan yang
sunat. Amalan-amalan yang sunat ini begitu luas ruang lingkupnya. Oleh
itu perkara yang paling penting dalam melaksanakan amalan-amalan sunat
ini hendaklah ia berdasarkan petunjuk-petunjuk dari Sunnah Rasulullah
SAW.

3 . Menjauhi Maksiat.

Seorang Mukmin itu juga mestilah menjauhi dirinya dari Maksiat.
Memandang berat terhadap dosa-dosa besar, berwaspada terhadap dosa-dosa
kecil dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhinya.

Imam Al-Ghazali memberi peringatan:

"Di dalam tuntutan Deen terdapat dua perkara yang sangat penting untuk
diperhatikan: Pertama, meninggalkan dan menjauhi segala sesuatu yang
dilarang dan diharamkan. Kedua, berbuat taat dan menunaikan segala
perintah, beribadah dan berbakti kepada Allah.

Untuk menjadikan Iman jauh dari pengaruh maksiat hendaklah seseorang
Muslim itu menjaga adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah
SAW [*]. Ini kerana kebiasaannya syaitan itu menyerang manusia dari pintu-pintu yang terlemah di dalam dirinya. Oleh itu
hendaklah ia membentengi dirinya daripada serangan-serangan syaitan.

[*] Adab-adab ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, ia
bersangkutan dengan:

a. Mata dan apa yang dilihatinya.
b. Telinga dan apa yang didengarinya.
c. Lidah dan apa yang diucapkannya.
d. Perut dan dari sumber yang bagaimana dimasukkan ke dalamnya.
e. Tangan dan apa yang dilakukannya.
f. Kaki dan ke mana diarahkannya.
g. Kemaluan dan bagaimana dijagainya.
h. Hati dan dosa-dosa yang dilakukannya.

Kita berdoa semoga Allah sentiasa menggolongkan kita ke dalam golongan
orang-orang yang beriman dan menjauhkan diri kita daripada menyekutukan-Nya.

[Berdasarkan Kitab Al-Bidayatul Hidayah oleh Imam Al-Ghazali]

Wallahu A'lam.

0 comments: