Tuesday, June 22, 2010

Trio hero Mavi Marmara di UTM Sekudai



JOHOR BAHRU - Kerana Tuhan, untuk manusia, juga untuk Gaza. Demikian moto yang mungkin boleh diberikan kepada Dewan Senat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang buat julung kalinya berbicara secara khusus lagi serius mengenai isu Gaza dan al-Quds selama kira-kira tiga jam semalam.

Program ‘Tragedi Marmara’ dibarisi oleh tiga panel utama sekali gus penumpang Mavi Marmara yang menjadi mangsa kebiadaban Israel, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (Pengerusi Aqsa Syarif Bhd), Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al- Haddad (HALUAN Palestin) dan Dr Mohd Arbai’e Syawal (HALUAN Palestin) yang turut dihadiri oleh Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim, TNC Akademik dan Antarabangsa UTM.

Dewan paling eksklusif di UTM itu sudah pun dipenuhi orang ramai seawal program bermula iaitu pada jam 9.30 pagi. Beberapa slaid berkaitan isu Palestin dan tragedi Mavi Marmara membuka tirai program. Kemudian ketiga-tiga panel silih berganti berkongsi pengalaman, analisis dan gagasan masing-masing.

Buat masa ini jadual mereka agak padat dengan aktivisme jerayawara berkenaan tragedi Mavi Marmara di sekitar Johor Bahru. Pada malam kelmarin mereka terlibat dengan program di Masjid BBU, manakala pada malam semalam mereka diraikan dalam program yang serupa di laman terbuka berdekatan Surau Jauharul Muttaqin, Presint Bakti, Mutiara Rini.

Analisis sirah oleh Hasanuddin mengenai gerakan penentangan terhadap pemulauan kaum Muslimin, Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib dan kaitannya dengan Gaza menarik untuk direnung fikir. Beliau turut menggesa agar semua pihak meneruskan gelombang dan momentum yang sedia ada malah menyifatkan mereka yang tidak berani bercakap tentang isu Palestin dianggap sebagai kera sumbang.

Ujar Hasanuddin, “Jangan biarkan kapal Mavi Marmara itu berlabuh tanpa mengalunkan gelombangnya sendiri.” Dr Syed pula mengharapkan peranan pihak media dalam menyemarakkan isu Palestin terus berkekalan sementelahan perjuangan belum selesai. Beliau malah sewaktu mahu ditemubual oleh pihak BBC, dengan sinis mencelah, “Di manakah kamu sebelum ini?”

Ketiga-tiga panel bersetuju bahawa setiap orang perlu memainkan peranan masing-masing dalam perjuangan membebaskan Palestin sama ada menerusi sumbangan wang mahupun masa dan tenaga termasuk memboikot barangan yang memberikan keuntungan kepada pihak Israel.

“Ramai orang Islam masih suka makan McD, minum Coca Cola,” ucap Dr Arbai’e. “Mereka perlu boikot sekarang,” sambung pengamal perubatan itu lagi.

Dr Syed mengakhiri bicara dengan suatu yang cukup menjentik benak iman apabila beliau mencium tiga jenazah penumpang Mavi Marmara yang berbau harum sambil menitiskan air mata sambil teringatkan ayat Allah bahawa yang syahid itu hakikatnya tidak mati bahkan hidup bersama rezeki yang melimpah ruah di sisi Allah.

www.malaysiaharmoni.com

0 comments: